Kembaliku KepadaMu Illahi

Sabda Rasulullah saw: "Seseorang hamba itu apabila tercatat namanya satu darjat dalam Syurga dan dia tidak dapat mencapainya dengan amal ibadah maka Tuhan datangkan ujian. Lantas dia bersabar di atas ujian itu maka kekallah darjat itu di dalam Syurga." "Pahala oleh sebab sakit lebih selamat daripada pahala amal ibadah, kerana ia susah hendak dimasuki oleh riak dan ujub"
http://www.youtube.com/watch?v=gy7XUxP9nkg Pada hari ini, aku mendapat satu perkhabaran yang amat menyayat hati. Seorang insan yang sangat tabah, cekal dan kuat semangatnya melawan penyakit kanser payu dara yang dihidapinya selama hampir 6 tahun telah kembali kepada-NYA. Al-Fatihah. Aku sebenarnya mengenali insan istimewa ini melalui laman blog beliau sejak 2 tahun yang lalu dan sejak itu aku sering menjadi pembaca setia setiap tulisan beliau. Apa yang membuatkan aku sangat-sangat mengkagumi beliau adalah kerana semangat dan kekuatan dalaman yang dimiliki beliau dalam menghadapi dugaan dan ujian yang maha getir ini. Keimanan dan keteguhan rohaninya dalam menerima ujian dari-NYA memberi aku satu kekuatan ketika aku menghadapi saat kesulitan dan kesusahan ketika melihat Arwah Ibu bertarung dengan penyakit kanser payu daranya juga. Aku sering bercerita pada Arwah Ibu betapa Arwah Kak Dalilah sangat redha, menerima secara sepenuh hati akan ujian dari Illahi. Aku ceritakan sedikit latar belakang akan tentang Arwah Kak Dalilah dan penyakit yang dihidapinya. Ini sedikit sebanyak memberi peransang kepada Arwah Ibu dalam menghadapi ujian dari-NYA. Terus terang, selepas pemergian Arwah Ibuku setahun yang lalu, aku terus menjadi pembaca setia blog dan FB Arwah Kak Dalilah. Aku ikuti setiap kejadian yang dilalui. Pernah beliau menyapaku di YM, bertanya tentang keadaan ibuku, dan aku ceritakan kepadanya tentang pemergian Arwah Ibu. Beliau titipkan ucapan takziah dan katanya "patutlah akak dah lama tak nampak Ave online. Semoga roh ibu Ave ditempatkan bersama mereka yang beriman." Seorang insan yang sangat baik, penuh dengan sifat positif dan sentiasa dalam keredhaan. Sejak akhir-akhir ini, apabila beliau bercerita di blog atau FB tentang kesakitan dan keadaan kesihatan beliau yang terkini, secara tiba-tiba aku teringat kepada Arwah Ibu. Apa yang dialami Arwah Ibu sama seperti mana yang dialami oleh Arwah Kak Dalilah. Semuanya sama! Maka terdetik di hatiku, segalanya ini akan berakhir dan ternyata pada hari ini kenyataan itu menjadi nyata. Namun begitu, Alhamdullilah, beliau kembali kepada-NYA genap seminggu selepas belia kembali ke tanah air selepas menunaikan umrah. Syukur, Alhamdullilah. Semoga segala kebaikan yang beliau lakukan akan menjadi panduan buat kita semua yang sedang menanti saat kembali-NYA kita kepada Yang Maha Agung Buat Arwah Ibu & Kak Dalilah:
Sesungguhnya segala kesulitan dan kesusahan yang diberi oleh-NYA pada-Mu di dunia ini, adalah janji-NYA buatmu Syurga di sana jua..insyaALLAH ~Al-Fatihah~

Comments

Popular Posts