Andai Masih Diberi Kesempatan...

Andai Allah Swt masih memberi peluang untuk Ibu hidup, hari ini kami akan sama-sama menyambut hari lahir ibu yang ke-63. Tetapi sesungguhnya Qada dan Qadar-NYA tiada siapa yang tahu dan nescaya ada hikmah yang tinggi di sebalik itu semua.
Setiap kali tiba tarikh istimewa ini ketika hayat arwah Ibu ada, kami akan sama-sama mengucapkan ucapan istimewa Selamat Hari Lahir buat Ibu. Pasti akan ada agenda bersama keluarga kami rancang tak kira sekadar membeli sebiji kek dan meraikannya di rumah bersama keluarga atau sesi makan-makan di luar bersama dan juga yang pastinya pemberian hadiah. Walaupun semua itu bukan diminta oleh arwah Ibu, namun sebagai anak apa yang mampu kami berikan terlalu kecil rasanya berbanding apa yang telah arwah Ibu lakukan buat kami. Besarnya pengorbanan arwah Ibu tidak akan mampu kami balas sehingga akhir hayat.
Tarikh istimewa ini terasa hambar dan sepi. Sesepi hatiku kala ini. Selama 125 hari, jiwa ini kosong dan sunyi tanpa belaian seorang insan istimewa bergelar IBU. Setiap saat ingatanku tak pernah padam dari mengingati Ibu. Setiap butir kata, nasihat, pujukan dan juga amarah Ibu tetap segar dalam ingatan. Sukarnya untuk membuang perasaan rindu teramat ini. Walau pujukan dan kata-kata semangat sentiasa diberi oleh insan-insan disekelilingku, ianya tidak akan sama seperti apa yang Ibu berikan. Benarlah kata orang - yang pergi tidak akan ada pengganti seabadi yang telah diberi kepada kita suatu waktu dahulu.
Harapanku moga ALLAH swt akan merahmati roh Ibu tercintaku. Al-Fatihah.

Comments

Popular Posts