Ramadhan Tiba Lagi..

Entry # 48
~ Airmata ini tanda kasih dan sayangku yang hakiki~
Lusa, seluruh umat Islam di dunia akan mula menyambut ketibaan bulan penuh kemuliaan yakni Ramadhan Al-Mubarak. Sejujurnya, aku tak tahu bagaimana nak ku gambarkan perasaanku di kala ini. Pastinya kali ini, Ramadhan kali ini tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Ianya akan sepi dan sunyi. Namun begitu, keindahan bulan yang mulia ini tetap menjanjikan satu kenikmatan yang hakiki. Moga di bulan mulia ini aku akan dapat meningkatkan keinsafan dan ketaqwaanku kepada-NYA.
Ini adalah Ramadhan yang pertama buat kami sekeluarga tanpa Ibu. Tiada lagi suara merdu Ibu mengejutkan kami anak-anakmu dihening pagi untuk bersahur. Jika dulu, bangun sahaja, semuanya sudah tersedia dia atas meja. Lauk-pauk yang masih berasap dan nasi yang harum semerbak. Walau macam mana letih sekali pun Ibu, juadah bersahur tetap Ibu utamakan buat kami. Rutin yang tetap menjadi rutin Ibu hinggalah Ramadhan tahun lalu. Pastinya selepas ini semuanya akan lain. Lain selain lainnya.
Ibu, kerinduan ini sangat mencengkam. Tak terkata pedihnya. Air mata sentiasa sahaja murah mengalir sejak Ibu tiada. Entah kenapa, semakin kuat Uni menahannya semakin laju turunnya. Ibu Uni betul-betul rindu pada Ibu. Uni nak pegang tangan, cium Ibu sepuas hati Uni tapi....
Ya ALLAH, aku tidak kuat menghadapi semua ini. Aku benar-benar rindu pada Ibuku. Dengan rasa rendah diri, aku mohon Ya ALLAH, aku mohon agar kau tempatkan roh Ibuku bersama mereka-mereka yang solehah dan beriman. Ampunkan segala dosa-dosanya dan rahmatilah rohnya selalu. Al-Fatihah.
Ramadhan yang pastinya sepi sesepi hatiku......

Comments

Popular Posts