Pergi Yang Tak Akan Kembali...Al-Fatihah

Entry # 37
Tanggal 23 Jun 2009 akan terus tersemat kukuh di sanubari sebagai satu tarikh yang penting dalam hidupku. Pada hari tersebut Ibu tercinta telah pergi kembali kepada Pencipta Yang Maha Agung. Berbagai perasaan terbit di kala itu - berkecamuk yang amat sangat. Namun begitu, aku redha dan menerima takdir ini dengan rasa rendah diri. Perginya Ibu tercinta di saat aku masih memerlukan belaian, perhatian dan tunjuk ajarnya menjadi satu pukulan yang maha hebat. Entah mampu entah tidak untuk aku terus menongkah tongkat meneruskan kehidupan ini. Ya. Allah tabahkan hatiku ini agar aku dapat terus berbakti untuk Ibuku dan agamaku.
Secara jujurnya, aku berasa amat kosong - seperti hilang segalanya. Masih lekat kukuh di ingatan segala kenangan yang tercipta antara kami. Sesekali kisah pahit manis antara kami akan bermain diminda dan seiring dengan itu jugalah airmata akan gugur. Segera kupanjat doa buat Ibu tercinta. Alhamdullilah, sedari mula segalanya dipermudahkan-NYA. Syukur, kerana itu jugalah permintaanku kepada-NYA selalu selesai usai solat dan pada setiap ketika. Dari saat keadaan Ibu semakin nazak sehinggalah beliau selamat disemadikan, semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan.
Dan saat yang paling tak akan kulupakan adalah dikala aku menjalankan tanggungjawab terakhirku sebagai seorang anak terhadap seorang ibu yang amat dikasihi, iaitu membantu urusan memandikan jenazah Ibu tercinta. Dikala itu, entah bagaimana aku mendapat kekuatan yang luar biasa, walhal sebelum ini belum pernah pun aku memandikan dan mengafankan jenazah. Sepanjang proses tersebut, tiada setitik pun airmataku gugur tetapi mulutku tak henti-henti berselawat dan "berbicara" dengan ibuku. Kubelai setiap inci tubuh kaku Ibuku dengan rasa kasih dan sayang yang amat tinggi. Walaupun hanya jasad yang kaku terbaring, nanum begitu aku yakin setiap sentuhan yang kulakukan padanya, dapat dirasai oleh Ibuku. Syukur Ya ALLAH, aku diberi peluang dan kekuatan untuk semua ini. Maha Suci ALLAH, merencanakan segalanya sebaik mungkin. SubhanaALLAH.
Bohong jika aku katakan yang aku amat tabah dan kuat. Sekuat mana pun kita sebagai seorang anak dan hamba-NYA, pasti gagal mengawal emosi. Jiwla yang yang kosong semakin mencengkam takala fikiran teringat pada segala kisah suka dan duka kami. Setiap malam sebelum tidur, aku pasti terbayang wajah Ibu - terasa seolah Ibu ada disampingku selalu. Nanum, rezeki belum berpihak kepadaku kerana aku masih belum diberi peluang untuk "bertemu" dengan ibuku di dalam mimpi. Mungkin belum masanya, mungkin...
Ibu, walaupun jasad kita terpisah secara zahir, hati dan kasih sayang Uni pada Ibu akan terus mekar dilubuk hati. Tidak pernah sesaat pun Uni lupa pada Ibu. Masih banyak yang ingin Uni lakukan buat Ibu. Uni berjanji akan meneruskan niat Uni itu dan ianya Uni buat khas buat Ibu. Doa Uni moga Ibu akan aman dan tenang di sana. Uni yakin, Ibu pasti gembira berada di sisi Yang Maha Esa. Doa dan sedekah Uni akan sentiasa mengiringi Ibu. Moga Allah mengampuni segala dosa dan menempatkan Ibu bersama mereka yang Solehah dan dikasihi. Amin Ya Rob'bialamin.
I Love You So Much and I'm Missing You Badly...AL-Fatihah.

Comments

Post a Comment

Popular Posts